Sunday, January 19, 2014

Penjelasan Mengenai Pemikiran Liberal


ISU:

Saya banyak kali terbaca bahan-bahan penulisan yang disebarkan melalui internet mengenai pemikiran liberal dan saya dapati ia sangat mengelirukan. Mohon dapat perjelaskan kedudukan hukum pemikiran tersebut.
 
PENJELASAN:

Aliran pemikiran liberalisme ini mengenengahkan isu-isu agama dengan perbahasan yang keluar daripada dasar tradisi hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Pemikiran liberal kini menular di kalangan kelompok Islam dan berkembang sebagai gerakan intelektual dan kebudayaan dengan kepercayaan bahawa masyarakat hendaklah dibebaskan daripada tradisinya.
 
Secara ringkasnya antara unsur-unsur pemikiran yang cuba diserapkan oleh aliran pemikiran liberal ini, ialah;
 
i. al-Quran yang ada sekarang pada pandangan mereka masih perlu diragukan validitinya, oleh itu kelompok ini berusaha untuk menerbitkan Al-Qur’an edisi kritis. Pemahaman ini akan menghancurkan kaedah dan methodologi keilmuan Islam dimana tafsiran sesuatu perkara asas mengenai ajaran Islam tidak lagi mengikut kaedah Tafsir, Uslub Tafsir, Hadith, Usul Fikh dan sebagainya.
 
ii. Bagi kelompok aliran liberal ini hukum boleh diubah-ubah bersesuaian dengan zaman. Sehubungan itu, mereka berani mempertikaikan hukum yang telah tertera dalam al-Quran dan Hadis yang sahih. Atas alasan memberi ‘maslahat dan ‘keadilan’, hukum faraid, hak perceraian dan poligami dipertikaikan. Malah arak menurut mereka tidak sepatutnya diharamkan selagi peminumnya tidak mabuk. Masa ibadah seperti solat, puasa dan zakat adalah menifestasi kecintaan hamba kepada Tuhannya yang sepatutnya dilaksanakan mengikut keselesaan individu. Paling jelas adalah pertikaian mengenai batas aurat wanita. Mereka mendakwa amalan menutup aurat bagi wanita seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam hanyalah budaya Arab zaman itu yang perlu dilaksanakan berdasarkan dengan kesesuaian masa dan adat setempat.
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-74 pada 25 Hingga 27 Julai 2006 telah meneliti isu pemikiran liberal ini dan implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia dan telah bersetuju membuat keputusan seperti berikut:
 
i.Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:
 
Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
 
b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
 
c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.
 
Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap bebarapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
 
b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
 
c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
 
d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia . Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.
 
e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
 
ii.Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.
 
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Comment