Friday, May 23, 2014

Jesus Bukan Nabi Isa

Jesus bukanlah nabi dan rasul Allah. Dan Jesus bukan pula Nabi Isa alaihissalam.
Jesus mati dibunuh oleh kaumnya, sementara Nabi Isa diselamatkan oleh Allah dengan mengangkatnya ke langit, sebagaimana yang tersebut dalam al Quran. Dan di akhir zaman, Nabi Isa akan diturunkan ke bumi untuk berhukum dengan hukum Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang tersebut dalam hadits-hadits yang sahih.
Allah Ta’ala berfirman, maksudnya:
“Dan kerana ucapan mereka: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.
Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikut sangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al Maidah: 157-158)

Oleh itu, siapa yg meyakini Jesus adalah Nabi Isa atau sebaliknya, maka dia telah mendustakan ayat al Quran, wal ‘iyadzu billah.

Adapun Jesus, maka para ulama menyatakan bahwa dia adalah seorang pengkhianat yang menyusup ke dalam barisan pengikut Nabi Isa alaihissalam. Dia yg membocorkan rahsia keberadaan lokasi Nabi Isa kepada orang-orang Yahudi yang akan membunuhnya. Oleh itu, Allah menghukumnya dengan membuat wajahnya terlihat serupa dengan Nabi Isa di mata orang-orang Yahudi. Sehingga orang-orang Yahudi menyangka Nabi Isa dibunuh, padahal yang dibunuh adalah Jesus itu. Wallahu a’lam.

Sunday, January 19, 2014

Penjelasan Mengenai Pemikiran Liberal


ISU:

Saya banyak kali terbaca bahan-bahan penulisan yang disebarkan melalui internet mengenai pemikiran liberal dan saya dapati ia sangat mengelirukan. Mohon dapat perjelaskan kedudukan hukum pemikiran tersebut.
 
PENJELASAN:

Aliran pemikiran liberalisme ini mengenengahkan isu-isu agama dengan perbahasan yang keluar daripada dasar tradisi hukum yang telah ditetapkan oleh Islam. Pemikiran liberal kini menular di kalangan kelompok Islam dan berkembang sebagai gerakan intelektual dan kebudayaan dengan kepercayaan bahawa masyarakat hendaklah dibebaskan daripada tradisinya.
 
Secara ringkasnya antara unsur-unsur pemikiran yang cuba diserapkan oleh aliran pemikiran liberal ini, ialah;
 
i. al-Quran yang ada sekarang pada pandangan mereka masih perlu diragukan validitinya, oleh itu kelompok ini berusaha untuk menerbitkan Al-Qur’an edisi kritis. Pemahaman ini akan menghancurkan kaedah dan methodologi keilmuan Islam dimana tafsiran sesuatu perkara asas mengenai ajaran Islam tidak lagi mengikut kaedah Tafsir, Uslub Tafsir, Hadith, Usul Fikh dan sebagainya.
 
ii. Bagi kelompok aliran liberal ini hukum boleh diubah-ubah bersesuaian dengan zaman. Sehubungan itu, mereka berani mempertikaikan hukum yang telah tertera dalam al-Quran dan Hadis yang sahih. Atas alasan memberi ‘maslahat dan ‘keadilan’, hukum faraid, hak perceraian dan poligami dipertikaikan. Malah arak menurut mereka tidak sepatutnya diharamkan selagi peminumnya tidak mabuk. Masa ibadah seperti solat, puasa dan zakat adalah menifestasi kecintaan hamba kepada Tuhannya yang sepatutnya dilaksanakan mengikut keselesaan individu. Paling jelas adalah pertikaian mengenai batas aurat wanita. Mereka mendakwa amalan menutup aurat bagi wanita seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam hanyalah budaya Arab zaman itu yang perlu dilaksanakan berdasarkan dengan kesesuaian masa dan adat setempat.
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-74 pada 25 Hingga 27 Julai 2006 telah meneliti isu pemikiran liberal ini dan implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia dan telah bersetuju membuat keputusan seperti berikut:
 
i.Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:
 
Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
 
b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
 
c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.
 
Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap bebarapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
 
b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
 
c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
 
d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia . Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.
 
e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
 
ii.Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.
 
Wallahu a’lam.

Hukum Lafaz Cerai Taklik Yang Mempunyai Maksud Sumpah


ISU:

Apakah implikasi hukum terhadap lafaz cerai taklik yang mempunyai maksud sumpah untuk melakukan sesuatu perkara yang dilarang/haram.


PENJELASAN:

Cerai taklik bermaksud suami melafazkan lafaz cerai yang dihubungkan dengan sesuatu syarat (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, jil. 7, hlm. 444; Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah, jil. 7, hlm. 471).


Cerai taklik dibahagikan kepada dua jenis; pertama cerai taklik yang dinyatakan syarat tanpa mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata kepada isterinya, "Jika aku tinggalkan isteriku selama lima bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah, isteriku tercerai." Kedua, cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata, "Jika aku tipu engkau, isteriku aku cerai."

Jenis cerai yang pertama, syarat yang dinyatakan dalam cerai taklik adalah berkuatkuasa selama mana syarat itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku. Jika sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, maka jatuhlah talak.

Namun, bagi jenis kedua, taklik itu tidak memberikan kesan, walaupun syarat yang dinyatakan itu berlaku, namun isterinya tidak tercerai (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 16, hlm. 152-153, 212). Lafaz taklik yang diucapkan seperti "sekiranya aku berbaik dengan si pulan, maka aku dan isteriku jatuh cerai!" adalah termasuk dalam kategori cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah. Maksud lafaz tersebut ialah suami itu bersumpah memutuskan sillaturrahim dan hukumnya haram. Oleh itu, jika suami itu berbaik semula dengan si pulan berkenaan, maka isterinya tidak tercerai kerana lafaz cerai taklik tersebut mempunyai maksud sumpah dan taklik itu tidak memberikan kesan.

Bersumpah untuk melakukan perbuatan haram adalah sumpah yang wajib ditebus. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa bersumpah tentang sesuatu, kemudian dia mendapati ada perkara lain yang lebih baik untuk dia lakukan, maka hendaklah dia lakukan yang lebih baik itu dan hendaklah dia membayar kafarah sumpahnya." Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim (Sahih, jil. 3, hlm. 1272). Contohnya dalam lafaz cerai taklik untuk memutuskan sillaturrahim, maka ia adalah haram, dan orang itu wajib menyambung sillaturrahim dan membayar kafarah sumpahnya. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung sillaturrahim." Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari (Sahih, jil. 8, hlm. 32).

Kafarah yang dikenakan adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Ma'idah, ayat 89)


Wallahu a'lam.


Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak Dan Tempoh Melaksanakan Li’an Untuk Menafikan Nasab Anak


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-101 yang bersidang pada 27 September 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak Dan Tempoh Melaksanakan Li’an Untuk Menafikan Nasab Anak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li’an kerana Li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ dan merupakan suatu amalan taabudiah.

Muzakarah juga menjelaskan bahawa Majma’ Fiqh al Islami yang bersidang pada 21 – 26 Syawal 1422 bersamaan 5 – 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah hanya dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Majma’ al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.

Muzakarah menegaskan bahawa para Fuqaha’ telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah li’an perlu dilakukan dengan kadar segera (عَلَى الْفَوْر)ِdan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut.

Muzakarah turut menegaskan bahawa merujuk kepada Mazhab Shafie, terdapat dua pandangan iaitu dalam qaul qadimdan qaul jadid. Dalam qaul qadim, Imam Shafie menetapkan bahawa penafian hendaklah berlaku sejurus diketahui kelahiran bayi tersebut. Sekiranya penafian tidak dibuat, bermakna seseorang itu telah mengakui bahawa bayi tersebut adalah anaknya. Namun begitu, dalam qaul jadid, penafian tidak semestinya secara terus. Ia memerlukan masa sebelum sesuatu keputusan diambil memandangkan ia merupakan satu perkara yang penting. Ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.

Sehubungan itu, berdasarkan penegasan dan pandangan para ulama’ mengenai tempoh segera bagi melakukan li’anuntuk menafikan nasab anak, Muzakarah berpandangan bahawa seseorang yang hendak melakukan li’an bagi penafian nasab anaknya perlu mempunyai tempoh waktu yang munasabah sebelum membuat keputusan demi mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku.

Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin.  Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.

Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan lebih-lebih lagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Isu Syiah Di Malaysia


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 May 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :” Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.
  2. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
  3. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri – Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri – Negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
  4. Memperuntukkan pindaan kepada semua Undang – Undang Negeri dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum Syarak atas Undang- Undang Islam seperti berikut :” Hukum Syarak atau Undang – Undang Islam ertinya Undang – Undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq. ”
  5. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang – Undang Islam dan demikian penyebaran apa –apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
  6. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang – undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.
  7. Menetapkan bahawa penerbitan , penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah , filem , video dan lain – lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.


Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.


Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Surah Al-Buruuj Ayat 9 Maksudnya


Sudut Renungan Dalam Kehidupan


Saturday, January 18, 2014

Surah Al-Ikhlas & Terjemahan/Maksud


Surah Al-Fatihah & Terjemahan/Maksud



Sifat Mukmin Sejati / Ustaz Amal - Mukmin Sejati


Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi
Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi

Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya
Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya

Inilah sifat mukmin yang sejati
Hatinya merasa sungguh derita
Bila tercebur ke dalam dosa
Lantas ia terus bertaubat
Mohon maghfirah dari Ilahi
Andai bersalah sesama manusia
Segera ia mohon kemaafan

Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi
Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi
Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya
Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya

Inilah sifat mukmin yang sejati
Sabar menempuh segala ujian
Apa yang didamba hanya redha tuhan
Berlapang dada dengan manusia
Hanya menginginkan kedamaian
Akhlak mulia menjadi pakaian
Quran dan Sunnah sebagai panduan

Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi
Antara sifat mukmin sejati
Sentiasa bersyukur pada Ilahi

Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya
Memadai dengan nikmat yang diberi
Tak lalai menunaikan tanggungjawabnya

Inilah sifat mukmin yang sejati
Cinta kasihnya hanya pada Allah
Tidak sekalipun merasa gundah
Derita melanda terasa indah
Setiap masa dalam beribadah
Menuntut ilmu jadi tradisi
Hidup dan matinya untuk Ilahi
Inilah sifat mukmin yang sejati
Inilah sifat mukmin yang sejati

Nasihat Tentang Cinta


Pengharapan Hanya Kepada Allah


Kelebihan Ilmu


Kembali Ke Pangkal Jalan Wahai Saudara/i


Kenapa Wanita Dijadikan Dari Tulang Rusuk Lelaki